Sunday, August 29, 2010

GUNUNG KINABALU

Disediakan oleh : ANITA SYAMSUDDIN ( 205692 )


Alam sekitar meliputi pelbagai aspek yang amat luas jangkauannya. Ini termasuklah gunung-ganang yang terdapat di muka bumi ini. Salah sebuah gunung yang amat terkenal di mata di dunia ialah Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu merupakan di antara gunung yang tertinggi di Asia. Malahan gunung ini berada di kedudukan kelima tertinggi di Asia Tenggara. Gunung ini terletak di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia dan mempunyai ketinggian setinggi 4095 m iaitu 13435 kaki. Tapi jika dilihat dari segi persempadanan geografi, Gunung Kinabalu merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Keindahan Gunung Kinabalu dapat dilihat bukan sahaja dari banjaran-banjarannya malah di kaki gunung tersebut telah memperlihatkan kemasyurannya. Ini kerana Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan seperti hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan hutan Ericaceous atau hutan gunung. Oleh itu dapatlah saya katakan bahawa gunung kinabalu mempunyai persekitaran semula jadi yang amat luas dan cantik.

Keunikkan

Gunung kinabalu memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Di antaranya ialah tempat di mana terletaknya bunga terbesar di dunia iaitu Bunga Rafflesia. Bunga ini menjadi tumpuan setiap pengunjung yang bertandang ke Gunung Kinabalu ini. Ini kerana keunikan bunga itu sendiri yang habitatnya hanya di Gunung Kinabalu malahan jenis-jenis bunga tersebut yang pelbagai dan menjadi kajian sesetengah pakar dari seluruh dunia. Gunung kinabalu jika dilihat dari jauh, kita hanya membayangkan perjalanan ke puncaknya yang hanya dihiasi oleh tumbuh-tumbuhan yang hidup menjalar di kawasan tersebut. Malangnya tanggapan itu silap sama sekali. Pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Gunung Kinabalu itu sendiri untuk memudahkan pendaki-pendaki yang mengambil keputusan untuk menawan gunung tersebut. Pelbagai kemudahan seperti rumah rehat iaitu Menggilan Hostel yang akan menempatkan pendaki yang akan berhenti rehat. Selain itu persekitaran Gunung kinabalu juga boleh mencapai sehingga serendah 14 darjah selsius dan gunung Kinabalu itu sendiri boleh mencapai suhu 0 darjah selsius.



Proses pembentukan

Gunung kinabalu telah melalui beberapa proses yang sama dengan gunung-gunung lain di muka bumi ini. Pembentukannya telah bermula sejak berjuta tahun dahulu. Ini bermula dengan pertembungan litosfera Laut Cina Selatan yakni lapisan teratas pada kerak bumi dengan litosfera yang telah membentuk kepulauan Borneo. Disebabkan insiden semula jadi itu litosfera Laut Cina Selatan telah terbenam ke bawah dan menolak litosfera Borneo membentuk Gunung Kinabalu ini. Proses tersebut masih berlaku hingga ke hari ini tapi kita tidak merasai prosesnya. Tolakan itu telah menolak Gunung Kinabalu dan menyebabkan gunung tersebut semakin meninggi setiap tahun tetapi perubahan ketinggian itu tidak dapat dilihat melalui mata kasar. Ini kerana dijangkakan kadar tekanan itu hanyalah 5mm pada setiap tahun. Tetapi jika dibandingkan ketinggian gunung ini dengan ketinggian asal, ia lebih tinggi lima hingga lapan kilometer. Oleh kerana hakisan yang berlaku secara semula jadi selama berjuta-juta tahun dahulunya dipercayai sama tinggi dengan Banjaran Himalaya menyebabkan paras Gunung Kinabalu hanya tinggal 4095 meter sahaja. Pada masa tersebut semua puncak tertinggi di dunia diliputi oleh ais iaitu pada zaman air batu. Setelah itu berlaku pergerakan glasier yang dapat dilihat kesannya di kawasan Pinusok Gravel iaitu sebuah kawasan yang terletak antara Kundasang dan Ranau.

Faktor dilupakan

Malangnya, Gunung Kinabalu semakin dilupakan oleh masyarakat bukan sahaja orang tempatan malahan rakyat Malaysia itu sendiri. Tidak dapat dinafikan setiap kali kita menyebut nama Gunung Kinabalu sebagai rakyat Malaysia kita akan mendabik dada kerana bangga dengan kehebatan gunung tersebut. Tapi kita tidak mengetahui keadaan sebenar gunung itu sendiri yang telah tercemar oleh pemanasan global. Pemanasan global yang dirasai oleh dunia sekarang tidak mengecualikan gunung kinabalu sebagai sasarannya. Perubahan yang dapat dirasakan secara kasar ialah suhu di Gunung Kinabalu itu sendiri semakin menurun. Jika dahulu kawasan yang berdekatan dengan Gunung tersebut sudah pasti dapat merasai kesejukan dan kedinginannya. Sekarang keadaan tersebut telah berubah. Ini kerana pembalakan secara terbuka semakin kerap berlaku di kawasan berdekatan dengan gunung tersebut. Pihak kerajaan yang kurang memandang serius mengenai hal ini mungkin tidak menyedari aktiviti ini telah menjejaskan keadaan Gunung Kinabalu itu sendiri. Ini kerana jika kita menyedari pada masa kini kerajaan lebih mementingkan pemuliharaan dan pemeliharaan pulau-pulau di sekitar Sabah itu sendiri. Selain itu juga kerajaan pada masa kini telah mempergiatkan usaha-usaha bagi membangunkan kawasan yang berhampiran dengan gunung tersebut. Ini kerana usaha kerajaan yang ingin membina lebih banyak perumahan untuk rakyat tanpa mengira tempat dan kesannya terhadap persekitaran. Jika keadaan ini berterusan dikhuatiri keadaan Gunung kinabalu itu akan menjadi semakin tenat dan tidak dapat dikawal lagi. Kemudahan yang disediakan sepanjang Gunung Kinabalu itu sendiri perlu dijaga supaya pengunjung tidak mencemarkan kawasan yang indah itu tidak ditutupi oleh sampah sarap.

Kesimpulan

Pihak yang bertanggungjawab perlu menyedari peranan sendiri supaya anugerah yang diberikan ini tidak dilupakan begitu sahaja. Alam sekitar harus dijaga dengan sebaiknya sebelum ia musnah tanpa kita sedari. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Alam sekitar seperti gunung-ganang ini perlu diberikan perhatian ini kerana ia juga merupakan elemen yang penting yang terdapat dalam alam sekitar ini. Ini kerana banyak hidupan yang bergantung hidup dengan gunung-ganang ini kerana habitat semula jadi mereka. Dengan demikian, gunung-ganang seperti Gunung Kinabalu ini perlu dijaga dengan sebaiknya.

CINTAILAH GUNUNG KITA !!


No comments:

Post a Comment