Sunday, August 29, 2010

KEMPEN-KEMPEN ALAM SEKITAR

Disediakan oleh : CHOW YAN YUN ( 205741 )

Kempen-kempen Alam Sekitar

Alam sekitar penting bagi semua kehidupan. Kini alam sekitar semakin dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu,kempen-kempen yang sesuai perlu dilaksanakan untuk membendung masalah alam sekitar. Pihak kerajaan dan pertubuhan alam sekitar seperti Tabung Alam Malaysia (WWF Malaysia) dan Persatuan Pencinta Alam (MNS) perlu berusaha untuk memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar melalui pelbagai kempen.

1.Kempen Kitar Semula

Kitar semula ialah proses mengitar semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru. Kitar semula mengurangkan bahan buangan, menjimatkan sumber, mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan bersih, menggurangkan penggunaan tenaga, menyelamatkan hutan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Bahan boleh dikitar semula termasuk kebanyakan jenis kaca, kertas, logam, plastik, tekstil, dan elektronik. Bahan yang hendak dikitar semula sama ada dibawa ke tapak pengumpulan atau dikutip dari tepi jalan dan disusun, bersih, dan diproses semula menjadi bahan baru bagi pengilangan.

Kempen kesedaran mengenai program kitaran semula perlu diperluas kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara. Tempat-tempat khas harus disediakan untuk membolehkan orang ramai membawa bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti botol, plastik, bekas minuman aluminium, bateri terpakai, tayar buruk, kertas atau surat khabar lama dan besi. Kita cuma masukkan bahan kitar semula ke dalam tong kitar semula mengikut kod warna yang bersesuai. Tong-tong ini harus boleh didapati di sekolah-sekolah dan beberapa bangunan kerajaan. Walaupun ini melibatkan kos yang tinggi, dalam jangka panjang kaedah ini dipercayai dapat membantu pemuliharaan alam sekitar dan seterusnya menjimatkan sumber alam.

Selain itu pihak kementerian juga perlu menjalankan kempen yang berterusan iaitu, memberikan tong atau plastik kitar semula yang mempunyai kod warna yang berbeza secara percuma, bagi mendidik rakyat Malaysia.

Disamping itu, semua rakyat harus memulakan kempen kitar semula di rumah dan di pejabat. Amalkan sistem yang mudah diikuti dan lakukannya berterusan. Sediakan tong atau beg di tempat-tempat yang strategik di rumah atau pejabat. Tong atau beg ini digunakan untuk menyimpan bahan-bahan kitar semula supaya bahan-bahan ini boleh dikitar semula.

Kita harus mengubah cara pembuangan sampah. Jangan buang segala-galanya ke dalam tong sampah yang sama. Asingkan bahan boleh dikitar semula daripada sampah-sarap yang lain. Bahan-bahan seperti kertas, plastik, tin aluminium, tin keluli dan barangan kaca boleh diasingankan dan dibuang ke dalam tong-tong yang disediakan. Penglibatkan ahli keluarga dan rakan sekerja adalah penting. Amalan ini menjadi lebih mudah jika setiap orang komited untuk mengitar semula.

Kempen kitaran semula buangan e-waste juga membantu memelihara alam sekitar. Kempen kitar semula buangan e-waste seperti televisyen, radio dan CD player dapat mengurangkan bahan buangan di planet ini.

2.Kempen Anti Beg Plastic

Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' ini bertujuan bagi membendung masalah pencemaran yang semakin berleluasa. Kempen pengharaman penggunaan beg plastik akan dilaksanakan sebagai langkah ke arah memelihara alam sekitar dan mempromosikan teknologi hijau. Orang ramai digalakkan membawa beg sendiri semasa membeli-belah atau menggunakan beg mesra alam. Bahan campuran kimia boleh merosakkan keseimbangan ekosistem dan memberi kesan buruk kepada bumi iaitu pemanasan global.

Kempen itu harus diperluaskan ke seluruh negara. Pelanggan yang hendak membeli-belah di pasaraya digalakkan membawa beg masing-masing atau mendapatkan beg di pasaraya dengan membayar 20 sen sehelai jika mahu mengguna plastic beg bagi mengisi barangan yang dibeli.Ini bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik dan meningkatkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar. Hasil jualan beg itu untuk tujuan projek alam sekitar dan kebersihan serta untuk program-program yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar.

3.Kempen Cintailah Sungai Kita

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menganjurkan kempen "Cintailah Sungai Kita" sejak
tahun 1993 dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran tentang betapa pentingnya sungai dalam kehidupan setiap individu bagi menimbulkan keinginan untuk sama-sama memelihara dan mencintai sungai. Kebersihan sungai bukan tanggungjawab sebuah kementerian sahaja. Banyak punca-punca pencemaran yang dikenal pasti memerlukan penglibatan lain-lain agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengatasinya. Di samping itu penglibatan pihak swasta, komuniti setempat, masyarakat umum dan pelajar sekolah juga perlu bagi menjamin sungai-sungai kita bersih.

Kempen Cintailah Sungai Kita adalah salah satu usaha oleh JPS untuk menganjurkan kesedaran umum, empati dan keprihatinan terhadap sungai kita dan usaha bersepadu dijalankan untuk membersihkan sungai kita di seluruh negara. Selain program pendidikan dan kesedaran yang berterusan, kempen ini melibatkan Program Pembersihan Sungai, Pengindahan Sungai, Pemulihan Pencemaran, Sungai Angkat dan Pendidikan yang mensasar individu, badan korporat dan sektor awam.

4.Kempen Kesedaran

Kempen kesedaran ini mengajak rakyat meninggalkan sikap dan tabiat buruk tidak mementingkan kebersihan dengan menjadikan penjagaan alam sekitar sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka.

Perlaksanaan kempen keserdaran dilakukan bagi menyemai rasa tanggungjawab masyarakat agar bekerjasama memelihara dan memulihara khazanah warisan negara. Perlaksanaan kempen kesedaran ini boleh diperbagaikan dengan perbagai aktiviti menarik. Antara aktiviti yang diadakan adalah melepaskan anak ikan, pameran,ekspedisi,pendidikan serta ceramah dan pengindahan serta gotong royong membersihkan kawasan yang melibatkan penduduk setempat sebagai satu langkah menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar. Aktiviti ini diharap dapat memupuk semangat kecintaan pada kebersihan dan seterusnya menyediakan persekitaran yang selesa, nyaman dan harmoni sebagai warisan kepada generasi mendatang. Selain itu, pertandingan mewarna lukisan dikalangan kanak-kanak pra-sekolah juga akan diadakan sebagai menyemai bibit-bibit kesedaran kepada kebersihan pada usia awal. Buluh yang hendak dilentur haruslah dimulakan pada peringkat rebung.

5. Kempen Menyamput Hari Perayaan

Negara kita menyambut perayaan seperti Hari Perhutanan Sedunia, Hari Bumi, Hari Alam
Sekitar Sedunia, dan Minggu Alam Sekitar Malaysia pada setiap tahun. Objektif utama
sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat
Malaysia melalui pelbagai aktiviti kesedaran. Ini bagi melahirkan masyarakat yang lebih
prihatin, peka, dan bersama-sama memainkan peranan untuk melindungi dan memulihara alam
sekitar.

Tema Hari Alam Sekitar 2009 ialah “ Planet Anda Memerlukan Anda! Bersatulah Menghadapi Perubahan Iklim”. Ia merupakan seruan kepada semua pihak, terutamanya golongan remaja, untuk melibatkan diri, memikirkan semula pola penggunaan dan perbelanjaan seseorang,yang kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat terhadap kesejahteraan psikologi seseorang. Ia berkait rapat dengan pelepasan gas rumah hijau dan mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau.

Hari Alam Sekitar merupakan hari untuk semua orang, iaitu ia memberi peluang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam tindakan sejagat bagi menggalakkan perlindungan terhadap iklim, menggunakan sumber dengan lestari serta mengamalkan gaya hidup yang mesra alam sekitar.

1 comment: