Sunday, August 29, 2010

KESAN PENCEMARAN

Disediakan oleh : LEE POH WAI ( 205660 )

Kesan Pencemaran

Pencemaran udara terhadap kesihatan manusia

Akibat daripada pencemaran udara, keshihatan manusia turut terjejas. Misalnya, penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding dahulu. Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi.Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun boleh membunuh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup. Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Pencemaran udara telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran udara ialah terhadap sistem pernafasan. Udara dan bahan cemar yang terperangkap di dalamnya akan memasuki hidung atau mulut manusia dan memasuki paru-paru melalui trakea. Karbon monoksida (CO) adalah antara gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dengan begitu berkesan sekali. Selain itu, bahan cemar seperti Nitrogen Oksida (NO­2 ) boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Bahan cemar gas ozon (O3 ) boleh menimbulkan kerengsaan. Habuk, asap, kavus, wap atau bahan-bahan lain juga menjejaskan mata manusia dan menghalang penglihatan mereka.

Pencemaran air terhadap kesihatan manusia

Kesan-kesan daripada pencemaran air juga menimbulkan banyak masalah terhadap hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri., Bahan-bahan toksid yang dibuang dalam sungai akan mengurangkan kandungan oksigen dalam air, hidupan air seperti rumpair akan mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan daripada hidupan air. Manusia juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika meminum atau menggunakan air yang tercemar itu. Sebagai contoh, kehadiran nitrat yang berlebihan dalam air minuman akan menyebabkan keracunan darah kepada bayi kecil dan barah kepada orang dewasa. Selain itu, sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kehidupan di dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kehidupan di dalam air mahupun kepada manusia sendiri.Selain itu, seperti yang berlaku di Teluk Minamata, Jepun, pencemaran toksid yang masuk ke dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut. Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan. Ia dikenali sebagai penyakit Minamata.

Pencemaran Bunyi terhadap Kesihatan Manusia

Pencemaran alam sekitar yang lain seperti pencemaran bunyi akan menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripad 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengaran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan. Kesan-kesan di luar telinga pula adalah seperti kesan fisiologi iatitu meningkatkan tekanan darah, meningkatkan pergerakan otot, meningkatkan pergerakan gastrik dan pembesaran pupil. Seterusnya kesan psikomatik seperti sakit kepala, pening, loya, muntah, pergerakan mata tidak dapat dikawal, gangguan percakapan, dan juga memberi kesan kepada tingkah laku.

Pencemaran Udara Terhadap Tumbuh-tumbuhan

Pencemaran udara juga memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara, iaitu Nekrosis (keguguran daun), Klorosis (pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudeah mengalami kerosakan dengan bahan cemars seperti sulphur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi mengalami kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi ini juga terganggu.

Selain itu, tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini menyebabkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuh-tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokok dan tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluarannya akan terancam.

Pencemaran Udara terhadap Haiwan

Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Sebagai contoh, di Pozo Rica, Mexico, sekumpulan burung kenari, ayam, tik, lembu, khinzir angsa dna anjing telah mati akibat terdedah kepada sulfur dioksida (SO2) yang dilepaskan ke udara oleh sebuah loji penapisan pada tahun 1950. Kematian haiwan itu disebabkan oleh penghadaman makanan haiwan yang tercemar setelah terdedah kepada bahan-bahan toksid yang terdapat di dalam udara. Contoh lain adalah keracunan yang disebabkan oleh plumbum (Pb) yang telah membawa maut kepada lembu dan kuda yang berlaku di Jerman. Haiwan-haiwan ini yang meragut kawasan rumput sekitar 5 kilometer dari sebuah kawasan kilang plumbum dan zink telah mengalami keracunan akibat daripada habuk plumbum yang dilepaskan oleh kilang tersebut.

Pencemaran Air terhadap Hidupan Akuatik

Di Malaysia, aktiviti perindustrian, urbanisasi serta perladangan menyebabkan pencemaran logam berat, racun makhluk perosak, pencemaran organik serta peningkatan keledak dalam air. Ia merupakan pencemaran utama yang memusnahkan kehidupan akuatik. Laluan utama pencemaran dari darat ke lautan adalah sungai. Sungai-sungai yang tercemar seperti Sungai Juru, Sungai Pinang dna beberapa sungai mengalirkan berbagai-bagai jenis racun, keledak bahan kumbahan dan najis haiwan ke dalam lautan. Spesies yang sensitif akan lama-kelamaan lenyap, sama ada disebabkan oleh kematian individu atau kegagalan pembiakan. Bagi spesies yang tahan lasak, pengumpulan bahan toksik dalam badan mereka boleh menyebabkan risiko yang tinggi kepada haiwan-haiwan yang terletak di penghujung rantaian makanan termasuklah manusia sendiri.

Pencemaran Udara terhadap Atmosfera

Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan. Contoh yang paling jelas ialah kebakaran besar yang berlaku di hutan Indonesia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa buah Negara di Asia Tenggara mengalami keadaan jerebu yang sangat teruk termasuklah Malaysia. Selain itu, pertambahan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera turut meningkatkan suhu bumi yang telah mencetuskan perbincangan hebat dalam kalangan para saintis di abad ini. Para saintis mendapati bahawa kepekatan karbon dioksida bertambah dari 0.032 peratus pada tahun 1968 kepada 0.038 peratus pada tahun 2000. Mengikut analisis tersebut, ia menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5 darjah selsius, dan kesan ini dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’.

Pencemaran Udara terhadap Lapisan Ozon

Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorokarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Penipisan lapisan ozon berlaku kerana bahan-bahan pencemar seperti CFC bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.

Kejadian Hujan Asid

Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya hujan asid. Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Ia berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindak balas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat-tempat lain dna membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dna bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur. Hujan asid ini berbahaya kerana ia akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak subur.

1 comment: